OH! INI RUPANYA SEBAB BERSIN DI PAGI HARI

OH! INI RUPANYA SEBAB BERSIN DI PAGI HARI

OH! INI RUPANYA SEBAB BERSIN DI PAGI HARI

05/04/2021

                                                       


Anda baru saja bangun dari tidur yang nyenyak dan tiba-tiba sahaja anda bersin tak terhenti. Kalau bukan anda pun, mungkin orang di sekeliling anda mengalami gejala itu.


Mungkin bagi kita normal sahaja kerana situasi ini sudah biasa sejak kita kecil lagi. Hal ini kerana, kejadian bersin setelah bangun dari tidur lebih mudah terjadi kepada golongan kanak-kanak serta orang yang lebih tua.


Namun, sedar ataupun tidak, bersin di pagi hari sebenarnya menandakan sesuatu pada diri kita. Ada beberapa punca yang menyebabkan bersin dan Pakar Perunding Otorinolaringologi Dr Azida Zainal Anuar di dalam sebuah forum anjuran Nuvanta Sdn Bhd menyatakan secara amnya ia berkait kepada masalah sistem imun individu yang menjadi sensitif. 


Perubahan sistem imun yang kemudian akan menyebabkan seseorang menjadi lebih terdedah untuk terkena jangkitan sinus atau rhinitis. Jangkitan seperti inilah yang menjadikan kita bersin di pagi hari.


Jangkitan sinus atau sinusitis dan lebih dikenali sebagai resdung ialah keradangan membran pada sinus. Sinus ialah rongga pada tengkorak dan diselaputi dengan membran. Rhinitis pula keradangan pada membran mukosa di dalam hidung. Apabila keradangan berlaku, ia akan termasuk seperti gangguan pernafasan, bersin dan hidung berair.


Sinusitis dan rhinitis kebiasaanya mempunyai agen penyebab seperti alahan pada allergen debu, bulu binatang, spora kulapuk, iritasi kimia dan mikroorganisma. Kebiasaannya, sinusitis dan rhinitis tidak mempunyai risiko yang tinggi pada kesihatan. Walaubagaimanapun, seandainya bersin di pagi hari anda menjadi berlarutan dan muncul simptom sinusitis kronik seperti sakit kepala dan kemunculan bisul pada sinus di muka, maka perlu rujuk rawatan doktor secepat mungkin.


Walaupun simptom kedua-dua penyakit pada tahap akut tidak berbahaya, namun anda boleh mempertimbangkan langkah-langkah mengatasi agen penyebab. Ruang yang didiami perlulah dikemas dan memastikan tiada debu dan habuk berkumpul. Ini bagi mengelakkan reaksi alahan yang akan menyebabkan rhinitis.


Selain itu, kelembapan relatif juga ingin kita kurangkan dengan memasang alat penyahlembap. Merendahkan kelembapan relatif dapat menghindarkan penumbuhan kulapuk lantas spora-sporanya.


Jadi ingat, selepas ini sekiranya anda atau orang terdekat anda bersin-bersin setelah bangun pagi, boleh mula mengenalpasti punca agen penyebab penyakit. Dengan ini rhinitis dan sinusitis kronik dapat dihindarkan.