Fungsi Pelitup Muka di Musim Pandemik
Fungsi Pelitup Muka di Musim Pandemik
Sudah menjadi norma baharu terkini, apabila kita keluar dari rumah sahaja semua orang memakai pelitup muka. Tiada yang terkecuali tidak kira di mana dan waktu sekalipun. Kecuali segelintir individu dalam masyarakat yang tidak bertanggungjawab dengan tidak memakai pelitup muka di tempat awam. Namun, pernahkah kita tertanya-tanya mengapa perlunya memakai pelitup muka? Bagaimana pelitup muka berfungsi dalam usaha kita memerangi pandemik Covid-19? Mari kita selami topik ini. Pelitup muka yang disyorkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan World Health Organization (WHO) kepada masyarakat umum adalah pelitup muka jenis tiga lapis (3 ply face mask). Pelitup muka jenis lain juga dibenarkan selagi tujuan asal memakai pelitup muka tercapai. Pelitup muka jenis 3 lapis Tujuan memakai pelitup muka adalah mengurangkan penyebaran titisan air dari hidung dan mulut kepada orang lain. Ia mesti menutup hidung dan mulut serta mempunyai sedikit ruang udara bagi pernafasan. Pelitup muka berfungsi sebagai penapis hembusan nafas pemakai. Dalam konteks hari ini, pemakaian pelitup muka adalah bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19. Oleh kerana virus ini tersebar melalui udara, jadi pemakaian pelitup muka dapat mengurangkan transmisi jangkitan. Diperkasakan dengan penjarakkan sosial 1 meter, langkah dan ikhtiar ini perlu dipraktikkan sentiasa. Zarah di dalam udara terdiri daripada pelbagai saiz. Virus Covid-19 sangat kecil dan tidak dinafikan mampu menembusi lapisan pelitup muka. Namun, pada peringkat awal ini, arahan memakai pelitup muka adalah bagi meningkatkan keberkesanan penapisan secara kolektif. Sekiranya masyarakat akur perintah pemakaian pelitup muka, maka prospek kadar jangkitan dapat dikurangkan. Apabila seseorang itu menghembus nafas, bersin atau batuk, titisan cecair akan ditapis oleh lapisan pelitup muka daripada beterbangan terus ke arah hadapan. Zarah yang tidak tertapis akan terurai di dalam udara. Pada sisi individu lain, pelitup muka dapat menghalang baki titisan dan zarah tidak terurai daripada dihirup 100%. Kaedah berfungsi pelitup muka Dalam situasi genting dan semua pihak berusaha memerangi Covid-19, ini sahaja kaedah yang paling sesuai dalam melawan Covid-19. Marilah kita bekerjasama membantu mengurangkan jangkitan Covid-19 dengan berdisiplin sepanjang masa memakai pelitup muka. Semoga kita berjaya bersama memerangi jangkitan Covid-19.