Apa yang mampu Coronavirus lakukan pada paru-paru anda?

Apa yang mampu Coronavirus lakukan pada paru-paru anda?

Apa yang mampu Coronavirus lakukan pada paru-paru anda?

19/11/2020

Coronavirus atau lebih dikenali sebagai Covid-19 kini melanda seluruh dunia dan penyebarannya sukar untuk dikawal.

Mari kita lihat apakah yang Covid-19 mampu lakukan terhadap paru-paru manusia sehingga boleh menyebabkan kematian?




Covid-19 memberi kesan secara lansung terhadap alveoli (kantung udara kecil di paru-paru yang memindahkan oksigen dari paru-paru ke salur darah yang kemudian diagihkan ke seluruh organ di dalam badan).



Virus ini berfungsi dengan merosakkan lapisan dinding alveoli dan kapilari darah. Serpihan kerosakan tersebut iaitu plasma protein terkumpul di lapisan dinding. Hal ini menyebabkan kesukaran pemindahan oksigen ke dalam darah berlaku. Maka, oksigen tidak dapat dipindahkan ke organ-organ lain yang menyebabkan seluruh organ dalam badan kekurangan oksigen.


Seterusnya, mari kita ambil tahu gejala awal paru-paru diserang Coronavirus merangkumi 3 kes iaitu kes ringan, kes teruk dan kes kritikal.



Pertama sekali, bagi kes ringan, Coronavirus menyerang hanya sebelah bahagian paru-paru dan saluran udara sahaja yang menyebabkan bengkak di bahagian tersebut. Pesakit akan mengalami simptom seperti batuk kering, sakit tekak dan conjunctivitis (keradangan di membran konjunktiva yang melapisi kelopak mata yang menyebabkan kelihatan merah jambu di bahagian mata putih). Kira-kira 80% orang yang mengalami gejala ringan ini.



Kedua, kes teruk berlaku sekitar 14% dalam kalangan masyarakat. Dalam kes ini, serangan Covid-19 telah tersebar ke kedua-dua belah paru-paru. Bengkak semakin teruk sehingga paru-paru dipenuhi dengan cecair. Keadaan ini dipanggil radang paru-paru atau Pneumonia. Hal ini berlaku apabila alveoli dipenuhi dengan lendir dan cecair yang berusaha melawan jangkitan. Keadaan ini membuatkan alveoli bertambah sukar untuk menyerap oksigen. Di tahap ini, pesakit akan mengalami sesak nafas atau cenderung untuk bernafas lebih cepat dari biasa.



Ketiga ialah kes kritikal iaitu hanya berlaku 5% dalam kalangan masyarakat. Apabila Pneumonia berlaku secara berterusan tanpa rawatan, dinding dan lapisan alveoli akan rosak disebabkan cecair dan lendir berlebihan terkumpul. Hal ini berlaku apabila semakin sistem badan cuba untuk melawan jangkitan, semakin banyak cecair akan terkumpul di alveoli yang menyebabkan keradangan dan lebih sukar untuk pertukaran gas oksigen dan karbon dioksida berlaku.



Di tahap ini, Acute Respiratory Distress Syndrome (ARDS) akan menyerang iaitu sejenis penyakit yang menyebabkan batuk kering, degupan jantung yang tinggi dan tidak mampu bernafas sendiri tanpa bantuan ventilator. Sesetengah pesakit memerlukan pemindahan paru-paru kerana kerosakan tisu yang teruk. Tambahan pula, walaupun pesakit berjaya diselamatkan dari ARDS, namun paru-parunya akan meninggalkan kesan parut.


Walaubagaimanapun, kita tidak dapat mengesan pesakit Covid-19 pada peringkat awal dijangkiti. Hal ini kerana, individu yang dijangkiti virus tidak menunjukkan gejala tetapi berisiko tinggi menjadi pembawa kepada orang lain.


Individu yang mempunyai sistem imuniti yang tinggi mampu memusnahkan dan mencegah penyebaran virus. Namun, risiko tinggi bagi golongan berumur 70 ke atas dan golongan 70 ke bawah yang mempunyai penyakit darah tinggi, diabetes, penyakit jantung dan banyak lagi.