Selenium: Mineral Baik Untuk Badan
Selenium: Mineral Baik Untuk Badan
Selenium, apa itu? Kedengaran bunyi seakan-akan besi. Walaubagaimanapun, selenium ialah mineral yang diperlukan di dalam badan dan ia bukanlah kelas besi di dalam jadual unsur surih. Tidak sukar sebenarnya untuk mencari sumber selenium kerana ia mudah ditemui di dalam makanan. Namun, ada juga yang mengambilnya melalui makanan tambahan.
Selenium sangat diperlukan di dalam badan sama seperti mineral lain. Selenium memainkan peranan penting dalam mengekalkan fungsi kognitif, bertindak sebagai antioksidan dan melawan penyakit jantung.
Salah satu sebab pengambilan selenium ialah kerana ia mempunyai keupayaan meningkatkan fungsi mental. Apabila jangka usia semakin meningkat, seseorang itu berkemungkinan mengalami penurunan kualiti ingatan dan seterusnya menghidap penyakit Alzheimer dan Parkinson. Ini kerana dalam beberapa kajian yang telah dijalankan mendapati pesakit Alzheimer mempunyai tahap selenium yang rendah di dalam darah.
Jadi, dalam kajian tersebut, pesakit Alzheimer telah diberikan makanan dan makanan tambahan kaya dengan selenium. Hasilnya, pesakit menunjukkan reaksi positif seperti peningkatan daya kekuatan memori dan kefasihan lisan.
Di samping tahap selenium yang rendah di dalam darah, tekanan oksidatif juga menjadi punca kepada penyakit-penyakit neurologi. Bukan setakat penyakit neurologi seperti Alzheimer sahaja, tekanan oksidatif juga akan menyebabkan kerosakan sel badan dan DNA. Mujurlah selenium mempunyai ciri-ciri antioksidan bagi mengurangkan tekanan oksidatif.
Tekanan oksidatif terjadi akibat serangan partikel radikal terhadap sel dan DNA. Jadi, antioksidan bertindak dengan mengurangkan jumlah partikel radikal yang terhasil sebagai produk sampingan metabolisme badan. Dengan mengawal jumlah partikel radikal di dalam badan, antioksidan melindungi sel daripada kerosakan. Oleh itu, selenium diambil kerana sifat antioksidannya yang kuat.
Seterusnya, selenium juga boleh melindungi jantung daripada penyakit jantung. Kaedah selenium bagi melawan penyakit jantung ialah melalui merendahkan kesan keradangan dan meningkatkan jumlah antioksidan.
Keradangan ialah salah satu faktor kepada penyakit jantung. Sebuah tinjauan terhadap 16 kes kajian dengan sampel seramai 433,000 orang menunjukkan pengambilan makanan tambahan kaya selenium menyebabkan penurunan tahap marker keradangan protein C-reaktif. Penurunan tahap marker keradangan dapat mengurangkan risiko penyakit jantung.
Selenium juga mampu menghasilkan glutathione peroksida iaitu sebuah antioksidan yang kuat. Dengan pengambilan selenium, keradangan dan tekanan oksidatif yang mampu menyebabkan arteri jantung tersumbat atau atherosclerosis dapat dikurangkan.
Maka, dengan ini jelaslah pengambilan selenium itu penting. Walaupun begitu, kadar yang diambil tidak boleh berlebihan atau ia akan menyebabkan toksik. Makanan yang kaya dengan selenium adalah seperti kacang Brazil, ikan, daging dan bijirin. Selenium juga boleh diambil melalui makanan tambahan seperti produk ubatan.